Friday, November 7, 2008

Ceramah-Usaha-Usaha Memupuk Minat Membaca dalam Kalangan Masyarakat

Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis. Yang Berbahagia, Dato' Dr. Wan Muhammad Fazlan,penghulu Kampung Pisang Panjang, Yang Berusaha, Dato'Haji Nordin, penolong penghulu Kampung Pisang Panjang dan hadirin yang dihormati. Assalammualaikum dan salam sejahtera. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah bertajuk 'usaha-usaha memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat' dalam majlis yang bersejarah ini. Majlis menjadi lebih bersejarah dan bermakna kerana kesudian penghulu kampung kita untuk turut hadir dan bersam kita pada pagi yang bertuah ini. Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum,beliau baru sahaja pulang dari Pulau Batu Puteh sempena lawatan bersama Menteri Pembangunan Malaysia,Prof.Dr. Muhammad Ali Abdullah.
Hadirin yang dimuliakan,
Tabiat membaca terutama bahan ilmiah dalam kalangan masyarakat di negara ini masih belum boleh dibanggakan. Menurut kajian yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara baru-baru ini, hanya peratusan kecil sahaja masyarakat Malaysia mengamalkan tabiat membaca. Jika dibandingkan dengan rakyat di negara maju seperti Britain, Amerika Syarikat dan Jepun, purata rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku dalam setahun. Kebanyakan daripada mereka menjadikan bahan bacaan ringan dan hiburan sebagai pengisi masa lapang marcapada ini.
Kerajaan perlulah mengadakan kempen yang memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan tabiat membaca seperti kempen "Mari Membaca" dan sebagainya.Selain itu, pihak kerajaan juga perlu memberikan kemudahan kepada masyarakat yang ingin meminjam buku seperti mengadakan perpustakaan bergerak atau mempermudah proses meminjam buku di perpustakaan awam. Kadang kala,proses peminjaman buku di perpustakaan yang dianggap rumit atau leceh oleh sebilangan masyarakat juga boleh menghalang niat murni mereka itu.
Hadirin yang saya kasihi,
Pihak sekolah juga memainkan peranan yang amat penting untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar. Antara cara untuk menggalakkan pelajar membaca adalah dengan mengadakan program seperti Program Nilam yang dapat memberikan motivasi dan sebagai pendorong kepada pelajar untuk terus membaca setiap hari. Pertandingan seperti pertandingan membaca, bercerita atau pertandingan lain yang memerlukan proses pembacaan juga boleh diadakan selain dari usaha menaik taraf pusat sumber di sekolah untuk menarik minat lebih ramai pelajar supaya menghabiskan sebahagian masa lapang mereka di pusat sumber.
Tabiat membaca juga harus dipupuk dari kecil lagi bak kata pepatah "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Semasa kecil, kita diberi bahan bacaan yang mudah seperti pengenalan huruf, nombor dan sebagainya. Apabila kita meningkat dewasa, kita boleh memilih pelbagai jenis bahan bacaan yang berilmiah yang memberi kita maklumat dan pengetahuan yang berguna. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan yang amat besar. Ibu bapa boleh membelikan atau menghadiahi anak mereka buku atau bahan bacaan atau memberikan bahan ilmiah lainnya sebagai cenderadurja kepada anak-anak mereka untuk mendidik mereka membaca dari kecil lagi. Ibu bapa juga boleh mengadakan perpustakaan mini atau sudut bacaan di dalam rumah mereka untuk mendedahkan anak mereka dengan persekitaran membaca. Paling penting, ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak mereka.
Justeru, saya berharap agar kita mempunyai kesedaran dan sikap tanggungjawab untuk melatih diri mengamalkan sikap membaca setiap hari. Amalan membaca secara berterusan dapat memupuk sikap suka membaca agar masa lapang tidak disia-siakan begitu sahaja. Tabiat mencintai ilmu akan melahirkan masyarakat Malaysia yang intelektual, berilmu dan berwawasan setanding dengan negara maju. Hal ini kerana membaca ialah jambatan ilmu dan sangat penting bagi memastikan tanah air kita tercinta Malaysia sentiasa cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa akan datang.
Sekian,terima kasih.
P/S: Terima kasih kepada Pn.Zainab bt. Ayob & x lupa juga kpd Pn.Norai bt. Harun n my other BM teachers....Jasa mu tetap dikenang..(Excersice on Monday,4 August 08).....^^

No comments: